Tajuk : Anda menyertai pertandingan syarahan peringkat sekolah. Tajuk yang telah anda pilih ialah ‘ Faedah Membaca’
Tajuk : Faedah Membaca
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan saya yang bertajuk ‘Kepentingan Membaca’.
Seperti yang kita sedia maklum amalam membaca adalah satu amalan yang mulia. Melalui amalan membaca, kita dapat menambah ilmu pengetahuan. Dengan adanya ilmu pengetahuan, kita akan menjadi orang yang berilmu dan sentiasa menjadi rujukan rakan-rakan.
Hadirin sekalian,
Selain mendapat maklumat, membaca juga boleh mengisi masa lapang kita. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Jadi, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain-main dan merayau-rayau di kedai-kedai dan sebagainya.
Di samping itu, membaca juga boleh membaiki penguasaan bahasa kita. Melalui membaca kita boleh menambah perbendaharaan kata. Contoh bahan-bahan bacaan yang boleh meningkatkan perbendaharaan kita ialah majalah, surat khabar dan buku-buku ilmiah.
Hadirin Sekalian,
Amalan membaca juga membolehkan kita mengikuti perkembangan semasa. Contohnya melalui surat khabar kita dapat mengetahui banyak maklumat dan peristiwa yang berlaku di dalam negara dan di seluruh dunia. Dengan ini, kita tidak ketinggalan maklumat berbanding orang lain.
Oleh itu, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu. Oleh kerana masa amat mencemburi, saya sudahi syarahan saya dengan ucapan terima kasih.